Friday, October 30, 2009

CKHT Kini Kembali!

Bajet 2010 baru-baru ini membawa sedikit khabar tidak menggembirakan bagi pasaran hartanah. Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT) yang telah 2 tahun dikecualikan akan dikuatkuasakan semula mulai 1 Januari 2010 ini.

Menurut Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, CKHT akan dikenakan pada kadar 5% ke atas keuntungan daripada pelupusan hartanah melalui Perintah Cukai Keuntungan Harta Tanah (Pengecualian) 2009 (selepas ini akan disebut ‘Perintah Pengecualian’) yang akan diwartakan secepat mungkin. Demikian yang dilaporkan di dalam Utusan Malaysia pada 26hb Oktober 2009 yang lalu.

Melalui Perintah Pengecualian tersebut kadar 5% akan dikenakan tanpa mengira kategori pemilik atau tempoh pegangan hartanah tersebut.

Bagaimanapun. terdapat pengecualian diberikan kepada individu seperti berikut:

i-pengecualian ditingkatkan daripada RM5,000-00 kepada RM10,000 atau 10% daripada keuntungan bercukai, yang mana lebih tinggi;
ii-pelupusan hartanah antara suami dan isteri, ibu bapa dan anak, datuk, nenek dan cucu di atas dasar hadiah atau kasih sayang;
iii-pelupusan rumah kediaman sekali seumur hidup.

Sebenarnya, apa dia CKHT ini?

Tunggu ya...

Wednesday, October 28, 2009

Apa itu Undang-Undang

Menurut Wikipedia Bahasa Melayu (ms.wikipedia.org/wiki/Undang-undang)

“Undang-undang merupakan satu sistem peraturan atau norma yang cuba diikuti oleh ahli-ahli masyarakat. Biasanya ini adalah peraturan sesuatu negara. Jika peraturan-peraturan ini dilanggar, orang yang melanggar peraturan tersebut mungkin dihukum atau didenda oleh mahkamah/polis. Peraturan ini biasanya dibuat oleh pemerintah negara tersebut supaya rakyatnya boleh hidup, bekerja dan bersosial antara satu sama lain. Kadangkala, undang-undang juga dibuat oleh sekumpulan orang yang berfikiran sama.”

Sixthformlaw.info pula mendefinisikan undang-undang seperti berikut:

“It is possible to describe law as the body of official rules and regulations, generally found in constitutions, legislation, judicial opinions, and the like, that is used to govern a society and to control the behaviour of its members, so Law is a formal mechanism of social control. Legal systems are particular ways of establishing and maintaining social order.”

Saya setuju dengan kedua-dua definisi di atas. Undang-undang dicipta supaya manusia boleh hidup dengan aman dan harmoni di dalam satu-satu masyarakat. Cuba bayangkan sekiranya tiada undang-undang di muka bumi ini dan manusia dibenarkan berbuat apa sahaja yang mereka sukai, tentu keamanan dan kedamaian tidak akan wujud. Sedangkan dengan pelbagai undang-undang yang ada pun manusia boleh berperang dan membuat pelbagai kerusakan, ini pula jika tiada undang-undang!

Allah sememangnya menjadikan kita ini makhlukNya yang memerlukan panduan dan peraturan. Itulah sebabnya diturunkan Al-Qur’an dan Kitab-kitabNya yang lain yang di dalamnya terkandung Syari’at yang boleh membimbing manusia ke arah keamanan dan kesejahteraan. Para Nabi dan Rasul pula diturunkan sebagai contoh bagaimana seharusnya manusia menjalani syariat tersebut.

Mahasuci Allah yang Maha Besar, selamat dan sejahteralah manusia yang berpegang kepada Syari’atNya. Sesungguhnya janji Allah itu senantiasa benar!

Tuesday, October 27, 2009

Saya dan Undang-Undang

Saya tidak tahu mengapa selepas SPM saya begitu tertarik untuk memasuki bidang undang-undang. Mungkin saya teruja dengan cerita-cerita tentang peguam di televisyen. Ally McBeal, Law and Order dan beberapa cerita lagi yang membuatkan gaya seorang peguam itu sangat memikat.

Peguam di televisyen itu sangat bergaya, petah berbicara, bijak menangani konflik dan kaya! Oh ya! Peguam selalu membantu orang yang kesusahan. Merekalah hero! Maka saya tanpa menoleh lagi terus memilih bidang guaman sebagai bidang pengajian setelah saya tidak dapat tawaran dari Jordan yang saya idam-idamkan.

Maka bermulalah kisah saya sebagai pelajar undang-undang di UIAM. 6 tahun saya bergelut dengan buku-buku dan konsep undang-undang yang begitu asing di telinga saya. Akhirnya saya berjaya menyelesaikan pengajian dengan keputusan yang tidak berapa cemerlang...

Kini saya sudah praktis hampir 8 tahun. Tetapi nampaknya apa yang ada di tv itu tidak sama dengan realiti. Bidang guaman bukanlah bidang yang glamour. Juga bukanlah bidang yang menjadikan kita cepat kaya. Ini bidang yang penuh dengan amanah dan tanggungjawab. Bidang yang kadang kala membosankan (sebab dress codenya hanya hitam dan putih), meletihkan dan stressss!

Apa pun, saya masih belajar...saya masih meneroka...saya masih mentah dalam bidang ini...saya mahu terus belajar dan berkongsi ilmu...Mudah-mudahan ilmu ini akan menjadi amal soleh, peneman saya di barzakh nanti.